COMPARE, BOOK, SAVE. TOO EASY!

Save on your hotel - www.hotelscombined.com

Best Hosting Service

Affiliates Network

Tuesday, March 13, 2012

Penamaan waris mesti ikut faraid

Islam tidak pernah melarang seorang ayah membahagikan hartanya kepada mana-mana anak yang difikirkan wajar ketika hayatnya, namun dia perlu meninggalkan satu pertiga daripada harta itu sebagai simpanan sebelum kematiannya.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal, berkata tindakan seorang lelaki mengamuk kerana tidak dinamakan sebagai pewaris harta ayahnya adalah tidak wajar mengikut ajaran Islam.

Katanya, bukan bermakna apabila mana-mana anak tidak dinamakan sebagai penerima harta, dia akan terlepas daripada menerima bahagiannya, memandangkan Islam mengutamakan keadilan dan pembahagian harta mestilah mengikut faraid.


“Dalam Islam memang ayah dibenarkan untuk membahagikan hartanya ketika dia masih hidup tapi peruntukan juga menyebut si ayah mesti tinggalkan satu pertiga daripada hartanya tadi untuk tujuan dan kegunaan tertentu. “Supaya apabila si ayah meninggal, harta ditinggalkan boleh digunakan untuk menyelesaikan urusan pengebumian, membayar hutangnya dan baki daripada itu diserahkan kepada waris untuk diagihkan mengikut faraid. “Bermakna, mana-mana penama yang tertinggal daripada menerima harta mengikut faraid akan turut memperoleh bahagian termasuk anak, isteri dan ibu serta ayahnya sekiranya masih ada,” katanya.


Monday, March 12, 2012

Syor emas jadi sandaran mata wang perlu dikaji

CADANGAN untuk kembali menjadikan emas sebagai asas sandaran kepada nilai mata wang utama dunia seperti dolar Amerika Syarikat (AS), euro, yen, pound dan yuan perlu dikaji dengan teliti bagi mengelak salah faham yang menjurus kepada reaksi negatif, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

“Banyak cadangan diterima untuk menjadikan emas sebagai standard sandaran bagi mata wang utama dunia, tetapi paling penting adalah ia perlu dikaji dengan teliti, termasuk kesannya.

“Kita tidak mahu berlakunya reaksi keterlaluan kepada pembangunannya,” katanya kepada media di Kongres Akauntan Sedunia di Kuala Lumpur, semalam.

Zeti berkata, keadaan pasaran tukaran asing yang teratur sangat penting bagi ekonomi terbuka seperti Malaysia.

Katanya, walaupun pasaran tukaran asing negara kini berada dalam keadaan teratur, peningkatan kemudahruapan dolar AS dijangka berlaku susulan keadaan situasi pasaran global tidak menentu.

Presiden Bank Dunia, Robert Zoellick, mendapat kritikan hebat daripada penggubal dasar dan ahli ekonomi Barat apabila beliau pada awal minggu lalu mencadangkan negara global menimbang penggunaan emas sebagai asas penetapan kadar tukaran mata.

Sistem itu katanya, mampu mengelakkan daripada spekulasi mata wang dan pelaksanaannya memerlukan pembabitan lima mata wang utama dunia iaitu dolar AS, euro, yen, pound dan yuan.


Bagaimanapun Zoellick semalam menarik balik kenyataan itu selepas menerima kritikan hebat.

“Saya tidak menyokong untuk kembali kepada kurun ke-19 apabila bekalan wang dikaitkan kepada emas,” katanya ketika menghadiri persidangan anjuran Bank Dunia di Singapura, semalam.

Beliau juga berkata, cadangan itu juga tidak termasuk dalam agenda pada mesyuarat negara G20 minggu ini.

Mesyuarat G20 dijangka memfokus kepada ketegangan berhubung tukaran mata wang asing dan ketidakseimbangan perdagangan dunia susulan terdapat negara anggota sengaja melemahkan nilai mata wangnya bagi menggalakkan eksport.

Harga emas melonjak ke paras tertinggi beberapa minggu lalu dan ketika ini berada di paras sekitar AS$1,700 seaun dan dijangka terus meningkat.

Orang Islam patut mengetahui hukum, kepentingan berwasiat

Amalan wasiat elak perebutan harta, pergaduhan waris

BERWASIAT bukan satu perkara atau amalan yang baru diperkenalkan. Pada awal permulaan Islam, perintah berwasiat hanya dibuat untuk kedua ibu bapa dan saudara mara terdekat.

Firman Allah yang bermaksud: “Diwajibkan atas kamu, apabila seseorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, (hendaklah ia) berwasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabatnya dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 180)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang malang ialah orang yang tidak sempat berwasiat.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Walau bagaimanapun, perintah wajib ini telah dimansuhkan. Menurut kebanyakan sahabat dan Mazhab Sunni yang empat termasuk Imam Syafie, apabila turunnya ayat al-Mawarith (ayat 11, 12, dan 176 surah al-Nisa’) iaitu ayat yang secara khusus menyentuh peruntukan bahagian ditetapkan ke atas waris dalam pembahagian harta pusaka.


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah telah memberikan bahagian setiap orang yang berhak, maka tiada wasiat untuk warisnya.” (Hadis riwayat At-Tarmizi)


Namun Baginda tetap menggalakkan umatnya supaya membuat wasiat melalui sabda yang bermaksud: “Tidak patut bagi seseorang muslim yang ingin berwasiat tidur selama dua malam, selagi ia tidak menulis wasiatnya di sisinya.” (Muttafaqun Alaihi)


Wasiat disyariatkan melalui nas al-Quran, hadis, amalan sahabat dan ijmak. Berdasarkan amalan, sahabat ada berwasiat sebahagian harta mereka dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Rasulullah juga tanpa jemu mengingatkan pentingnya berwasiat kerana ajal datang tidak diketahui bila dan bagaimana. Jika berlaku kematian secara mengejut kepada orang Islam tanpa membuat perancangan berkaitan hartanya dan tidak berwasiat, maka malang orang yang tidak berwasiat.


Oleh demikian, janganlah berlengah atau bertangguh dengan menggunakan pelbagai alasan remeh yang sering didengar antaranya, saya tidak mempunyai harta untuk diwasiatkan.


Mengikut pendapat sunni yang empat dan al-Zaidiyyah, walaupun wasiat tidak difardukan ke atas umat Islam, tetapi umat Islam dinasihatkan dan digalakkan untuk berwasiat dan hukum berwasiat banyak bergantung kepada keadaan serta situasi seseorang.


Oleh itu, mengetahui hukum berwasiat berupaya mengubah pendirian seseorang dan menetapkan tindakan selanjutnya.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Hai orang beriman, apabila salah seorang kamu menghadapi kematian, sedang dia akan berwasiat, maka hendaklah (wasiat itu) disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu atau dua orang yang berlainan agama dengan kamu, jika kamu dalam perjalanan di muka bumi lalu kamu ditimpa bahaya kematian.” (Surah al-Ma’idah, ayat 106)


Sesungguhnya amalan berwasiat atas harta yang dimiliki mempunyai banyak faedah dan kebaikan jika dilakukan semasa hidupnya antaranya, dapat menjamin pembayaran hutang, pelaksanaan tanggungjawab, amanah dan mengelak berlakunya perebutan harta dan pergaduhan ahli waris.


Apabila berlaku kematian, sebahagian si mati akan membawa bersama hutang-hutangnya bertemu Allah SWT seperti kewajipan zakat, fidiah kerana meninggalkan puasa, haji, kaffarah puasa dan hutang sesama manusia.


Persoalan yang kian genting hari ini, siapakah antara waris yang akan memastikan hutang si mati dilunaskan jika kita tidak pernah memberitahu atau berwasiat kepada orang lain untuk melaksanakannya?


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Roh seseorang mukmin itu tergantung (yakni dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya, sehinggalah hutang itu dilunaskan (dibayar).”


Ada umat Islam yang meninggalkan harta (harta alih dan harta tak alih), tanah, bangunan, kenderaan, barang-barang, wang tunai, wang simpanan, saham, pelaburan dan sebagainya dengan berwasiat untuk tujuan kebajikan tidak melebihi 1/3 pusaka dan selebihnya akan diurus mengikut hukum faraid.


Langkah ini secara langsung diharap dapat menjamin harta ditinggalkan si mati untuk tujuan kebajikan melalui wasiat dan akan berkekalan ganjaran pahala yang mengalir kepadanya apabila ia mati kelak.


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: iaitu sedekah yang berterusan pahalanya, ilmu dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan untuknya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Selain itu, mengetahui hukum berwasiat juga akan meningkatkan kefahaman waris menjalankan kewajipan masing-masing terutama mengenai kadar 1/3 yang boleh diwasiatkan. Apa yang terjadi, masih ramai yang samar-samar mengenai kadar yang boleh diwasiatkan.

sumber rujukan: berita harian