BARU-BARU ini seorang kenalan yang baru kematian bapa
menyampaikan kekesalannya kerana dokumen wasiat yang ditandatangani oleh
bapanya dua bulan sebelum meninggal dunia rupa-rupanya tidaklah banyak
membantu. Ia tidak seperti yang digambarkan oleh seorang wakil dari sebuah
agensi berkaitan pusaka.
Sementara itu, seorang pelanggan sebuah institusi kewangan
secara terpaksa menandatangani surat cara wasiat sebagai satu pakej pinjaman
perumahan oleh bank sedangkan kandungan wasiat hampir tidak dipersetujui oleh
pelanggan itu.
Sewaktu masyarakat khususnya orang Melayu semakin sedar
keperluan merancang pembahagian harta pusaka, bukanlah rahsia lagi bahawa
banyak pihak yang kelihatan begitu ghairah untuk menjadikan penulisan wasiat
sebagai satu perniagaan.
Malangnya sehingga hari ini tiada siapa yang mempunyai kuasa
untuk mengawal bidang penulisan wasiat ini hingga ada ketikanya wasiat dilihat
begitu jauh tergelincir daripada neraca kemunasabahan penulisannya.
Tanpa berniat untuk merendahkan sesiapa, hari ini terdapat
dalam pasaran seorang ejen insurans, pesara kerajaan, penjual kereta dan
pelajar universiti menjadi penulis wasiat. Ada yang menjualnya pada harga RM350
dan ada pula menjual 'secara borong' sehingga serendah-rendahnya pada harga
RM100.
Ada penulis yang menulis wasiat untuk pelanggan sendiri dan
ada pula mengeluarkan lambang pelbagai syarikat dan institusi mengaku menjadi
ejen kepada pelbagai institusi amanah. Ia berlaku sehingga dalam keadaan
tertentu, Amanah Raya Berhad terpaksa mengeluarkan kenyataan bahawa pihak
tertentu itu bukanlah ejen mereka.
Biasanya dengan tawaran hanya beberapa ratus ringgit,
seorang ejen wasiat akan memberitahu klien bahawa wasiat tersebut akan
menjadikan proses pembahagian pusaka lebih mudah.
Ada ketikanya, segala al-Quran berkaitan kewajipan
menyediakan wasiat digunakan untuk meyakinkan pelanggan tanpa menyebut bahawa
jumhur ulama sepakat mengatakan ayat-ayat berhubung wasiat sebenarnya
dibatalkan oleh ayat-ayat pewarisan.
Akibat terpengaruh dengan hujah maka ramai umat Islam
bersetuju berwasiat. Berdasarkan kepetahan 'penjual wasiat', suratcara wasiat
itu terus dianggap oleh pelanggan tadi sebagai penyelesai segala masalah harta
walaupun secara realitinya ia tidaklah semestinya begitu.
Antara wasiat biasa ialah seorang bapa membahagikan harta
kepada anak-anaknya. Selepas kematiannya, anak-anak tidak bersetuju dan
mempertikaikannya.
Menurut Mazhab Syafie, wasiat seperti itu tidaklah mengikat
ahli waris dan ia hanya boleh dilaksanakan jika semua waris bersetuju terhadap
wasiat berkenaan. Persetujuan itu pula hendaklah dinyatakan selepas kematian
bapa dan bukan sebelum kematiannya.
Maka jika ada bantahan, maka wasiat bapa itu tadi akan
terbatal dan harta pusaka itu mesti dibahagikan sama ada mengikut faraid atau
muafakat baru. Maknanya wasiat yang ditulis oleh bapa tadi bersifat advisory
dan bukannya mandatori.
Seorang yang mahir dalam perancangan pusaka sudah pasti
tidak akan menggalakkan pelanggan menyediakan suratcara perundangan yang tidak
mempunyai kesan atau boleh menjerumuskan mereka kepada masalah yang lebih
kritikal.
Antara implikasi menulis wasiat tanpa panduan yang betul
ialah:
1. Terdapat kes di mana wasiat menyukarkan usaha mendapatkan
proses perintah pembahagian pusaka yang asalnya boleh dibicarakan di bawah
bidang kuasa Pejabat Pusaka.
2. Wasiat oleh majoriti orang Melayu bukan sahaja mempunyai
elemen pengamanahan atau wisoyah tetapi juga elemen pembahagian harta yang
melebihi satu pertiga kepada ahli waris maka sering kali dilihat wasiat itu
tidak dapat diterima pakai dan terbatal oleh mahkamah.
3. Dalam keadaan yang lebih ekstrem, wasiat boleh menjadikan
ahli keluarga berpecah-belah. Dan mungkin menyebabkan perasaan benci penerima
waris terhadap pewasiat yang telah meninggal dunia kerana wujud elemen pilih
kasih sewaktu surat wasiat dibuat.
4. Perasaan kecil hati, merajuk dan sedih akibat
"ketidakadilan" wasiat boleh menjadikan ahli waris menjauhkan diri
antara satu sama lain dan mengelak diri daripada terlibat dengan pusaka
tersebut sedangkan kerjasama atau tandatangan ahli waris masih diperlukan untuk
pembahagian harta. Sikap ini menjadi antara punca kelewatan pembahagian pusaka.
Sebenarnya, perkara asas yang perlu diakui dalam
"Suratcara Wasiat" ialah dokumen perundangan yang akan dirujuk oleh
ahli-ahli waris sama ada di peringkat mahkamah syariah atau mahkamah sivil.
Pada asasnya, kaedah pengurusan harta pusaka seseorang yang mati dengan
berwasiat sudah pasti berbeza dengan kematian seseorang yang mati tanpa
berwasiat. Sementara itu, kematian berwasiat seorang yang beragama Islam berbeza
pula dengan orang bukan Islam.
Pada keadaan lain wasiat ini juga menjadi persoalan yang
belum muktamad penyelesaiannya apabila pusaka seseorang itu dibicarakan oleh
Pejabat Pusaka Kecil.
Atas hambatan undang-undang - dan kita pun tidak boleh
menyalahkan mereka - ramai Pentadbir Pusaka yang masih lagi keberatan untuk
mengambil kira faktor kematian berwasiat dalam perbicaraan pusaka kecil.
Oleh kerana dokumen wasiat ini diguna pakai di dalam
prosiding mahkamah yang dalam banyak keadaan lazim pula dipertikaikan
kandungannya oleh ahli-ahli waris si mati, maka sudah tentu pihak yang
menyediakan dan menerangkan kandungan wasiat itu hendaklah mereka yang terdiri
daripada mereka yang berlatar belakang undang-undang sivil dan syariah.
Dalam kata mudah, jika sakit jumpalah doktor dan jika mahu
meninggalkan wasiat, mintalah nasihat daripada mereka yang arif tentang
selok-belok undang-undang dan pembahagian harta secara Islam.
Melainkan jika seseorang itu memang bersetuju untuk hanya
menyediakan satu suratcara yang bersifat panduan kepada ahli-ahli warisnya,
maka masyarakat Islam hendaklah sedar bahawa wasiat hanyalah salah satu
daripada kaedah bagi pembahagian pusaka.
Bagaimanapun oleh kerana wasiat seorang Islam adalah
tertakluk kepada kekangan tertentu berbanding dengan bukan Islam, maka
suratcara wasiat itu - dalam keadaan tertentu - hanya boleh dijadikan permulaan
kepada pengurusan perancangan masyarakat Islam.
Bagi menjadikan perancangan itu bersifat mandatori khasnya
kepada ahli waris, suratcara lain yang diharuskan syarak seperti pengamanahan
atau hibah adalah lebih sesuai.
Dengan menyediakan dokumen yang bersifat mandatori untuk
dipatuhi oleh semua waris, ahli-ahli tidak lagi boleh mempertikaikan keputusan
kita.
Maknanya, kita telah mengurangkan kebarangkalian untuk
ahli-ahli waris kita mempersoalkan pembahagian tersebut kerana ia telah
sempurna dan mengikat pula ahli-ahli waris. Suratcara-suratcara seumpama ini
oleh kerana melibatkan peruntukan silang undang-undang iaitu sivil dan syariah
hendaklah dibuat oleh ahli-ahli terlatih di dalam bidang harta orang Islam ini.
Penyediaan dokumen berkaitan wasiat, hibah, amanah dan waqaf
bukanlah perkara mudah yang boleh disediakan oleh sesiapa sahaja. Jangan sampai
keadaan ini menyebabkan masyarakat Islam merasa serik untuk berwasiat.
Carilah mereka yang ahli di dalam bidang ini tanpa perlu
menggunakan orang tengah atau ejen-ejen yang tidak diketahui latar belakang
ilmunya mengenai soal wasiat ini.
Malaysia mempunyai beberapa institusi amanah yang berdaftar
atau peguam-peguam yang mahir dalam bidang ini untuk menyempurnakannya.
Justeru, berhati-hatilah ketika berwasiat dan jangan
menyusahkan anak cucu dan kaum keluarga kita. Paling penting jangan sampai
mereka berpecah-belah kerana tidak berpuas hati soal pembahagian harta.