Wasiat sering kali menjadi bual bicara masyarakat di kala ini. Adakah wasiat bercanggah dengan sistem faraid di Malaysia? Apakah kehadiran wasiat ini telah mengubah sistem Faraid? Adakah kerana membuat wasiat mampu menyelesaikan masalah harta pusaka di Malaysia? Bolehkah harta pusaka sebanyak RM40 bilion yang telah beku di Malaysia dapat dikurangkan dengan berwasiat?
Faraid ialah pembahagian harta pusaka yang telah ditetapkan oleh hukum syarak yang terdapat pada surah An-Nisa ayat 11 hingga 12. Dengan ketetapan ini setiap muslim terikat dan tidak boleh sewenang-wenangnya menyerahkan harta pusaka mereka kepada bukan yang hak . Sedangkan bukan muslim tidak terikat dengan faraid maka mereka bebas memberi harta mereka kepada sesiapa sahaja yang mereka mahu. Pernah diceritakan di Amerika ada seseorang yang membuat wasiat untuk menyerahkan segala hartanya selepas mati kepada seekor anjing. Setelah kematiannya ,mahkamah menerima pakai wasiat tersebut dan semua harta simati adalah hak milik anjing. Bagaimanalah nasib waris simati tersebut.
Wasiat pula ialah pesanan yang disampaikan ketika hidupnya bagaimana harta pusakanya diagihkan. Apapun wasiat dalam Islam wajib mengikut hukum syarak juga tidak boleh bercanggah dengan hukum faraid. Wasiat yang dibenarkan dalam islam ialah hanya maksimum satu per tiga (1/3) harta pusaka kita yang boleh diberikan kepada mereka yang bukan waris dan mesti mengikut hokum syarak. Jadi apakah kepentingan wasiat? Wasiat adalah sebahagian kecil perkara dalam kandungan dokumen wasiat.
Perkara paling penting dalam penyediaan dokumen wasiat (Wisoyah) ialah pelantikan Pemegang Amanah (WASI) yang boleh menguruskan harta pusaka dengan amanah dan bijaksana. Tugas Wasi ini sangatlah berat kerana bila menguruskan harta pusaka di Malaysia, maka wasi tidak terlepas untuk sentiasa menghubungi dan hadir ke Pejabat Tanah, Bank, Institusi kewangan, Amanah Raya, Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Kadang-kadang sehingga bertahun-tahun lamanya. Beberapa tugas penting WASI adalah seperti berikut:-
- Mengakses wasiat dan mempunyai bukti kesahihannya
- Mendapatkan Probet iaitu mendapat kebenaran menguruskan harta pusaka dari Mahkamah Sivil
- Menghimpumkan semua harta peninggalan pewasiat
- Menyediakan penyata akaun
- Membahagikan semua harta pewasiat mengikut wasiat
- Membahagikan baki harta pewasiat mengikut faraid
Disebabkan pengurusan harta pusaka adalah sesuatu yang sukar diuruskan oleh kebanyakan individu maka sewajarnya pewasiat melantik WASI itu dari sesuatu badan amanah yang pakar di dalam pengurusan harta pusaka seperti Amanah Raya, As-Salihin dan sebagainya. Dengan ini pewasiat tidak membebankan waris atau mana-mana individu dalam menguruskan harta pusakanya.
Di zaman ini, sekiranya seseorang itu tidak menyediakan dokumen wasiat untuk melantik WASI maka untuk menguruskan harta pusakanya akan menjadi sangat sukar . Ditambah pula,sekiranya aset simati melebihi RM 2 juta.
Kesimpulannya, perkara pokok dalam menyediakan dokumen wasiat (Wisoyah) adalah untuk melantik pemegang Amanah (WASI). Tiada pertentangan antara penyediaan dokumen wasiat dengan hukum faraid. Sebaliknya dengan dokumen wasiat akan memudahkan pengagihan harta melalui hukum faraid.
No comments:
Post a Comment