COMPARE, BOOK, SAVE. TOO EASY!

Save on your hotel - www.hotelscombined.com

Best Hosting Service

Affiliates Network

Friday, May 31, 2013

Waspada ketika berwasiat

BARU-BARU ini seorang kenalan yang baru kematian bapa menyampaikan kekesalannya kerana dokumen wasiat yang ditandatangani oleh bapanya dua bulan sebelum meninggal dunia rupa-rupanya tidaklah banyak membantu. Ia tidak seperti yang digambarkan oleh seorang wakil dari sebuah agensi berkaitan pusaka.

Sementara itu, seorang pelanggan sebuah institusi kewangan secara terpaksa menandatangani surat cara wasiat sebagai satu pakej pinjaman perumahan oleh bank sedangkan kandungan wasiat hampir tidak dipersetujui oleh pelanggan itu.

Sewaktu masyarakat khususnya orang Melayu semakin sedar keperluan merancang pembahagian harta pusaka, bukanlah rahsia lagi bahawa banyak pihak yang kelihatan begitu ghairah untuk menjadikan penulisan wasiat sebagai satu perniagaan.

Malangnya sehingga hari ini tiada siapa yang mempunyai kuasa untuk mengawal bidang penulisan wasiat ini hingga ada ketikanya wasiat dilihat begitu jauh tergelincir daripada neraca kemunasabahan penulisannya.

Tanpa berniat untuk merendahkan sesiapa, hari ini terdapat dalam pasaran seorang ejen insurans, pesara kerajaan, penjual kereta dan pelajar universiti menjadi penulis wasiat. Ada yang menjualnya pada harga RM350 dan ada pula menjual 'secara borong' sehingga serendah-rendahnya pada harga RM100.

Ada penulis yang menulis wasiat untuk pelanggan sendiri dan ada pula mengeluarkan lambang pelbagai syarikat dan institusi mengaku menjadi ejen kepada pelbagai institusi amanah. Ia berlaku sehingga dalam keadaan tertentu, Amanah Raya Berhad terpaksa mengeluarkan kenyataan bahawa pihak tertentu itu bukanlah ejen mereka.

Biasanya dengan tawaran hanya beberapa ratus ringgit, seorang ejen wasiat akan memberitahu klien bahawa wasiat tersebut akan menjadikan proses pembahagian pusaka lebih mudah.

Ada ketikanya, segala al-Quran berkaitan kewajipan menyediakan wasiat digunakan untuk meyakinkan pelanggan tanpa menyebut bahawa jumhur ulama sepakat mengatakan ayat-ayat berhubung wasiat sebenarnya dibatalkan oleh ayat-ayat pewarisan.

Akibat terpengaruh dengan hujah maka ramai umat Islam bersetuju berwasiat. Berdasarkan kepetahan 'penjual wasiat', suratcara wasiat itu terus dianggap oleh pelanggan tadi sebagai penyelesai segala masalah harta walaupun secara realitinya ia tidaklah semestinya begitu.

Antara wasiat biasa ialah seorang bapa membahagikan harta kepada anak-anaknya. Selepas kematiannya, anak-anak tidak bersetuju dan mempertikaikannya.

Menurut Mazhab Syafie, wasiat seperti itu tidaklah mengikat ahli waris dan ia hanya boleh dilaksanakan jika semua waris bersetuju terhadap wasiat berkenaan. Persetujuan itu pula hendaklah dinyatakan selepas kematian bapa dan bukan sebelum kematiannya.

Maka jika ada bantahan, maka wasiat bapa itu tadi akan terbatal dan harta pusaka itu mesti dibahagikan sama ada mengikut faraid atau muafakat baru. Maknanya wasiat yang ditulis oleh bapa tadi bersifat advisory dan bukannya mandatori.

Seorang yang mahir dalam perancangan pusaka sudah pasti tidak akan menggalakkan pelanggan menyediakan suratcara perundangan yang tidak mempunyai kesan atau boleh menjerumuskan mereka kepada masalah yang lebih kritikal.

Antara implikasi menulis wasiat tanpa panduan yang betul ialah:

1. Terdapat kes di mana wasiat menyukarkan usaha mendapatkan proses perintah pembahagian pusaka yang asalnya boleh dibicarakan di bawah bidang kuasa Pejabat Pusaka.

2. Wasiat oleh majoriti orang Melayu bukan sahaja mempunyai elemen pengamanahan atau wisoyah tetapi juga elemen pembahagian harta yang melebihi satu pertiga kepada ahli waris maka sering kali dilihat wasiat itu tidak dapat diterima pakai dan terbatal oleh mahkamah.

3. Dalam keadaan yang lebih ekstrem, wasiat boleh menjadikan ahli keluarga berpecah-belah. Dan mungkin menyebabkan perasaan benci penerima waris terhadap pewasiat yang telah meninggal dunia kerana wujud elemen pilih kasih sewaktu surat wasiat dibuat.

4. Perasaan kecil hati, merajuk dan sedih akibat "ketidakadilan" wasiat boleh menjadikan ahli waris menjauhkan diri antara satu sama lain dan mengelak diri daripada terlibat dengan pusaka tersebut sedangkan kerjasama atau tandatangan ahli waris masih diperlukan untuk pembahagian harta. Sikap ini menjadi antara punca kelewatan pembahagian pusaka.

Sebenarnya, perkara asas yang perlu diakui dalam "Suratcara Wasiat" ialah dokumen perundangan yang akan dirujuk oleh ahli-ahli waris sama ada di peringkat mahkamah syariah atau mahkamah sivil. Pada asasnya, kaedah pengurusan harta pusaka seseorang yang mati dengan berwasiat sudah pasti berbeza dengan kematian seseorang yang mati tanpa berwasiat. Sementara itu, kematian berwasiat seorang yang beragama Islam berbeza pula dengan orang bukan Islam.

Pada keadaan lain wasiat ini juga menjadi persoalan yang belum muktamad penyelesaiannya apabila pusaka seseorang itu dibicarakan oleh Pejabat Pusaka Kecil.

Atas hambatan undang-undang - dan kita pun tidak boleh menyalahkan mereka - ramai Pentadbir Pusaka yang masih lagi keberatan untuk mengambil kira faktor kematian berwasiat dalam perbicaraan pusaka kecil.

Oleh kerana dokumen wasiat ini diguna pakai di dalam prosiding mahkamah yang dalam banyak keadaan lazim pula dipertikaikan kandungannya oleh ahli-ahli waris si mati, maka sudah tentu pihak yang menyediakan dan menerangkan kandungan wasiat itu hendaklah mereka yang terdiri daripada mereka yang berlatar belakang undang-undang sivil dan syariah.

Dalam kata mudah, jika sakit jumpalah doktor dan jika mahu meninggalkan wasiat, mintalah nasihat daripada mereka yang arif tentang selok-belok undang-undang dan pembahagian harta secara Islam.

Melainkan jika seseorang itu memang bersetuju untuk hanya menyediakan satu suratcara yang bersifat panduan kepada ahli-ahli warisnya, maka masyarakat Islam hendaklah sedar bahawa wasiat hanyalah salah satu daripada kaedah bagi pembahagian pusaka.

Bagaimanapun oleh kerana wasiat seorang Islam adalah tertakluk kepada kekangan tertentu berbanding dengan bukan Islam, maka suratcara wasiat itu - dalam keadaan tertentu - hanya boleh dijadikan permulaan kepada pengurusan perancangan masyarakat Islam.

Bagi menjadikan perancangan itu bersifat mandatori khasnya kepada ahli waris, suratcara lain yang diharuskan syarak seperti pengamanahan atau hibah adalah lebih sesuai.
Dengan menyediakan dokumen yang bersifat mandatori untuk dipatuhi oleh semua waris, ahli-ahli tidak lagi boleh mempertikaikan keputusan kita.

Maknanya, kita telah mengurangkan kebarangkalian untuk ahli-ahli waris kita mempersoalkan pembahagian tersebut kerana ia telah sempurna dan mengikat pula ahli-ahli waris. Suratcara-suratcara seumpama ini oleh kerana melibatkan peruntukan silang undang-undang iaitu sivil dan syariah hendaklah dibuat oleh ahli-ahli terlatih di dalam bidang harta orang Islam ini.

Penyediaan dokumen berkaitan wasiat, hibah, amanah dan waqaf bukanlah perkara mudah yang boleh disediakan oleh sesiapa sahaja. Jangan sampai keadaan ini menyebabkan masyarakat Islam merasa serik untuk berwasiat.

Carilah mereka yang ahli di dalam bidang ini tanpa perlu menggunakan orang tengah atau ejen-ejen yang tidak diketahui latar belakang ilmunya mengenai soal wasiat ini.
Malaysia mempunyai beberapa institusi amanah yang berdaftar atau peguam-peguam yang mahir dalam bidang ini untuk menyempurnakannya.


Justeru, berhati-hatilah ketika berwasiat dan jangan menyusahkan anak cucu dan kaum keluarga kita. Paling penting jangan sampai mereka berpecah-belah kerana tidak berpuas hati soal pembahagian harta.

Thursday, May 23, 2013

Lindungi anak angkat dengan produk Amanah



Keluarga angkat boleh buat perancangan awal untuk masa depan

SEBAGAI keluarga angkat, ibu atau bapa mempunyai beberapa alternatif dibenarkan dalam Islam. Keluarga angkat boleh membuat perancangan awal selagi perancangan tersebut tidak bertentangan dengan hukum syarak yang boleh mengetepikan hak ahli waris yang berhak. Ini boleh dilakukan dengan menggunakan produk-produk AmanahRaya yang bercirikan Amanah (Trust) kerana semua produk Amanah tidak akan dikategori sebagai harta pusaka.

Pembahagian Harta Pusaka seperti yang sedia maklum dari siri sebelumnya telah diterangkan hanya membabitkan ahli waris yang berhak saja. Sekiranya ada anak angkat di kalangan keluarga simati, apakah yang terjadi kepada anak angkat ini? Lebih kritikal jika anak angkat ini di bawah umur.

Anak angkat dapat ditafsirkan dengan mudah sebagai anak yang dipelihara oleh bukan ibu bapa kandungnya. Anak angkat tidak boleh mewarisi harta pusaka keluarga angkatnya atau sebaliknya.

Walau bagaimanapun anak angkat boleh menerima harta daripada bapa angkat dengan cara lain iaitu melalui Hibah, Hadiah atau Wasiat yang ditetapkan tidak melebihi 1/3 daripada harta keluarga angkat kecuali dengan adanya persetujuan ahli waris yang sah.

Apa yang sering berlaku pada hari ini, anak angkat boleh dipinggirkan secara tidak langsung dan dengan cara yang amat mudah tanpa disedari atau tidak oleh saudara angkat sendiri. Keadaan ini boleh terjadi apabila berlaku kematian mendadak salah seorang sama ada ibu atau bapa atau kedua-duanya kerana tiada perancangan awal dibuat oleh keluarga angkat terutama ibu atau bapa angkat.

Perkara perlu diketahui oleh umat Islam yang telah mengambil anak angkat atau bercadang untuk berbuat demikian lebih-lebih lagi dengan keadaan seperti sekarang di mana kes buang bayi semakin meningkat, ramai yang ingin membantu dan tidak keberatan untuk mengambil anak angkat. Usaha murni ini memang digalakkan, lebih-lebih lagi usaha untuk menangani masalah ini; memberikan kepada keluarga angkat demi masa depan yang lebih baik dan terjamin serta terdapat permintaan yang tinggi untuk mendapatkan anak angkat.

Walau bagaimanapun, dalam keghairahan mengambil anak angkat ramai yang mungkin terlupa beberapa peraturan dan larangan penting apabila mengambil anak angkat. Perkara ini membabitkan masa depan anak angkat tersebut khususnya kedudukan dan status anak angkat dalam harta pusaka keluarga angkat. Antaranya yang paling penting adalah larangan kepada keluarga angkat untuk menasabkan anak angkat kepada bapa angkat atau dalam situasi sekarang adalah haram anak angkat itu dibinkan kepada nama bapa angkat.

Perkara menasabkan anak angkat adalah perkara biasa yang lazimnya dilakukan dengan hasrat dan niat yang baik, tetapi akhirnya boleh menimbulkan masalah yang lebih kompleks di kalangan anak angkat dengan ahli keluarga angkat yang lain. Lebih-lebih lagi status anak angkat yang telah dijelaskan di mana anak angkat tidak boleh mewarisi harta pusaka keluarga angkatnya dan begitulah juga sebaliknya.

Oleh demikian apakah yang perlu dilakukan oleh ibu bapa angkat dalam perkara ini? Sekiranya anak angkat ini masih di bawah umur ketika kematian ibu dan bapa angkat terjadi, bagaimana nasib anak angkat ini? Apabila seseorang Islam bersetuju mengambil anak angkat, maka adalah menjadi tanggungjawab mutlak dan wajib untuk keluarga angkat tersebut memastikan kebajikan anak angkat dijaga dan dilindungi agar dapat meneruskan hidup tanpa dizalimi sehingga dewasa.

Sebagai keluarga angkat, ibu atau bapa mempunyai beberapa alternatif yang dibenarkan dalam Islam. Keluarga angkat boleh membuat perancangan awal selagi perancangan ini tidak bertentangan dengan hukum syarak yang boleh mengetepikan hak ahli waris yang berhak.

Ini boleh dilakukan dengan menggunakan produk-produk AmanahRaya yang bercirikan Amanah (Trust) kerana semua produk Amanah tidak akan dikategori sebagai harta pusaka. Oleh itu, anak angkat boleh memiliki apa juga dihadiahkan oleh keluarga angkat yang diklasifikasikan sebagai harta Amanah. Produk-Produk ini yang ada ditawarkan oleh AmanahRaya; seperti Hibah, Hadiah dan Wasiat. AmanahRaya dengan pengalaman hampir 90 tahun serta berdasarkan kepada kes-kes yang ditadbir amat memahami keperluan dan kehendak ini serta halangan-halangan yang wujud.

Justeru, AmanahRaya telah menawarkan produk bercirikan Amanah berbentuk simpanan iaitu Amanah Safecare dan Normal Trust bagi memenuhi hasrat dan kehendak Pemberi Amanah. Kepentingan akaun amanah adalah untuk memastikan Penerima Amanah (Benefisiari) dalam hal ini adalah anak angkat dilindungi dan terpelihara daripada masalah yang membebankan mereka di kemudian hari.

Hasrat Pemberi Amanah akan dilaksanakan melalui Surat Ikatan Amanah iaitu satu dokumen yang mengikat Pemberi Amanah dan AmanahRaya sebagai Pemegang Amanah kepada Penerima dengan memperuntukkan syarat yang dipersetujui bagi tujuan melaksanakan hasrat dan arahan tersebut.

Adanya produk berbentuk simpanan pelaburan yang menawarkan pulangan dividen yang setanding dan kompetitif di pasaran memberi peluang kepada keluarga angkat untuk merancang masa depan anak angkat khususnya kemudahan kewangan untuk tujuan pendidikan, perubatan dan juga sara diri untuk tempoh yang boleh ditentukan oleh mereka sendiri. Jangan lupa untuk melayari www.amanahraya.com. untuk keterangan lanjut dan minggu depan perbezaan di antara amanah, pusaka dan wasiat.

INFO: Amanah ‘Safecare’

• Merupakan produk konvensional yang ditawarkan oleh AmanahRaya. Akaun amanah ini boleh dibuka oleh individu berumur 18 tahun ke atas dengan modal minima sebanyak RM50,000.

• Dengan pembukaan akaun Safecare ini, Donor dapat memastikan dana yang mencukupi untuk pendidikan masa depan anak-anak mereka.

Amanah Biasa

• Produk amanah yang ditawarkan oleh AmanahRaya dengan hanya bermodal minima RM2,000.

• Donor boleh membuat pertambahan dana dari masa kesemasa tertakluk kepada terma-terma yang dipersetujui di dalam Surat Ikatan Amanah. Akaun boleh dibuka oleh orang perseorangan berusia 18 tahun dan ke atas.
Klik Link disini untuk maklumat seterusnya: http://goo.gl/vhxfh

Wednesday, May 22, 2013

Kepentingan melantik pemegang amanah urus, tadbir harta pusaka

AmanahRaya organisasi bertanggungjawab sebagai pemegang amanah

MINGGU ini kita akan memperkatakan satu lagi elemen penting yang perlu difahami oleh umat Islam iaitu pemegang amanah. 

Pemilihan pemegang amanah penting dan kebanyakan umat Islam kurang faham mengenainya atau ada yang sudah maklum tetapi masih keliru akan keperluannya. 

Apa yang jelas, pemilihan untuk melantik pemegang amanah perlu dilakukan dengan cara yang betul kerana pemegang amanah mempunyai tugas serta tanggungjawab berat dan peranannya amat penting. 

Pemegang amanah ialah pihak yang diberi kepercayaan melaksanakan amanah diberi dan berdasarkan Akta Perbadanan Amanah Raya 1995, amanah itu termasuk kewasian atau hal tadbir. 

Dalam soal ini, umat Islam perlu memastikan sesiapa juga dipilih daripada orang perseorangan, syarikat amanah atau institusi masjid sebagai pemegang amanah, perlu benar-benar mengetahui dan memahami tanggungjawab yang bakal dipikul. 

Sesiapa saja boleh dipilih sebagai pemegang amanah selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak dan mampu menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan adil. Bagaimanapun, adalah lebih baik syarikat amanah milik penuh kerajaan, AmanahRaya dilantik pemegang amanah. 

Ini kerana AmanahRaya tidak mempunyai kepentingan peribadi dan mendapat jaminan kerajaan serta selaras dengan objektif penubuhannya sebagai organisasi yang menunjukkan rasa tanggungjawab sosial dengan memberikan perhatian kepada kepentingan komuniti Malaysia. 

Sejarah sendiri membuktikan pentingnya peranan pemegang amanah dalam menjaga dan memastikan kebajikan, kesinambungan kehidupan serta kesejahteraan rakyat pada semua peringkat tanpa mengenal agama atau bangsa selepas kematian anggota keluarga. 

Menyedari kepentingan ini, AmanahRaya, jabatan khas diwujudkan sejak 1921 sewaktu pemerintahan Inggeris kekal sehingga negara mencapai kemerdekaan. 

AmanahRaya ditubuhkan di bawah akta Pemegang Amanah Raya 1950 (Akta 247) dan Pegawai Pentadbir Pusaka sebuah jawatan statutori diwujudkan di bawah Akta Probet dan Pentadbiran 1959. 

Pada 1 Ogos 1995, jabatan ini dikorporatkan di bawah Akta Syarikat 1995 dan diperbadankan di bawah Akta Perbadanan Amanah Raya 1995, dikenali sebagai Amanah Raya Berhad. 

Ikuti keterangan lanjut mengenai pemegang amanah pada minggu hadapan. 

INFO: Fungsi dan kuasa AmanahRaya (Seksyen 12, Akta 532) 

• Perbadanan boleh dilantik menjadi pemegang amanah apa-apa wasiat atau berian atau suratcara lain yang mewujudkan amanah atau untuk melaksanakan apa-apa amanah atau kewajipan yang tergolong dalam kelas dibenarkan untuk menerima, dan boleh dilantik sedemikian sama ada wasiat atau berian atau suratcara lain yang mewujudkan amanah atau kewajipan itu dibuat atau mula berkuatkuasa sebelum atau selepas tarikh ditetapkan, dan sama ada sebagai pemegang amanah asal atau baru, atau sebagai pemegang amanah tambahan, dalam hal sama dan dengan cara sama dan oleh orang atau mahkamah yang sama seolah-olah ia adalah orang persendirian yang bertindak atas sifat itu. 

• Walaupun pada hakikatnya mana-mana wasiat, berian atau suratcara lain yang mewujudkan amanah atau kewajipan membuat peruntukan bagi atau mengarahkan atau menghendaki perlantikan dua pemegang amanah atau lebih, Perbadanan boleh dilantik dan bertindak dengan sah sebagai pemegang amanah tunggal. 

• Jika Perbadanan telah dilantik sebagai pemegang amanah apa-apa amanah, seorang pemegang amanah bersama boleh bersara daripada amanah itu di bawah dan mengikut seksyen 43 Akta pemegang amanah 1949, walaupun tidak terdapat lebih daripada dua orang pemegang amanah dan tanpa apa-apa persetujuan yang dikehendaki oleh seksyen itu. 

• Perbadanan tidak boleh dilantik sama ada sebagai pemegang amanah baru atau tambahan jika wasiat, berian atau suratcara lain yang wujudkan amanah atau kewajipan itu mengandungi arahan yang bertentangan, melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya. 

• Notis mengenai apa-apa cadangan perlantikan Perbadanan sama ada sebagai pemegang amanah baru atau tambahan hendaklah, jika praktik, diberikan kepada semua orang yang mempunyai kepentingan benefisial yang bermastautin di Malaysia dan yang alamat mereka diketahui oleh orang yang bercadang membuat perlantikan itu, atau, jika benefisari itu ialah orang yang belum dewasa, kepada penjaga mereka. 

• Jika mana-mana orang yang kepadanya notis itu telah diberikan memohon kepada mahkamah dalam tempoh 21 hari dari penerimaan notis itu, mahkamah boleh, jika setelah mengambil kira kepentingan semua benefisiari ia memikirkan bahawa adalah suaimanfaat dibuat sedemikian, membuat perintah melarang perlantikan itu dibuat.

Sumber : Berita Harian

Thursday, May 9, 2013

Mahukah Kita Mati Dibelenggu Hutang?













Oleh: Wann, iluvislam.com

Kita tidak pasti sama ada kita akan terlibat dalam kemalangan atau tidak, dan kita tidak pasti sama adakah kita akan terselamat dalam kemalangan tersebut atau tidak. Kita tidak tahu, bukan?
Walaupun kita tidak tahu, tetapi kita sedar setiap kali kita memandu kenderaan kita berisiko untuk terlibat dalam kemalangan, dan kita KHUATIR. Maka sebab itu kita mencarum insurans. Benar, bukan?
Kullu nafsin zhaiqatul maut – setiap insan pasti akan merasai mati. Tidak KHUATIRkah kita? Apakah kita bersedia? Kerana kita tidak mahu tinggalkan dunia ini kelak, kita masih terbelenggu dengan hutang – hutang pada manusia, hutang pada Allah (puasa, zakat dll), atas kesedaran inilah Warisan Mukmin Sdn. Bhd. dan Amanah Raya Berhad melancarkan Tahun Menulis Wasiat.

Sabda Rasulullah S.A.W :

"Orang yang malang ialah orang yang tidak sempat berwasiat" - Hadis Riwayat Ibnu Majah

Apabila berlaku kematian ke atas seseorang Muslim, harta yang ditinggalkan oleh si mati WAJIB diuruskan dengan SEGERA mengikut urutan-urutan berikut :

1. Perbelanjaan pengurusan jenazah

2. Melunaskan tanggungan hutang (hutang Agama, seperti puasa, zakat, haji dsb)

3. Melunaskan tanggungan hutang (hutang kepada manusia)

4. Pembahagian harta sepencarian

5. Menunaikan wasiat

6. Mengagihkan bahagian Faraid

Hutang Selesai Bila Mati?

"Diampuni semua dosa orang yang mati syahid kecuali hutang" - Riwayat Muslim

Sering kali terjadi, maklumat yang sering diabaikan adalah hutang. Sehingga terjadi suatu kisah, pemiutang meletakkan mesej hutang berserta alamat untuk dihubungi pada kubur penghutang – si mati! Mahukah perkara sebegini berlaku kepada anda?

Awas, perlu kita jelas, keenam-enam langkah di atas TIDAK AKAN berlaku secara automatik selepas kematian anda. Sebaliknya ia perlu dirancang supaya dapat dilaksanakan dengan lancar, dan paling penting, menurut syariat.

"Roh seseorang Mukmin itu tergantung, yakni terhalang daripada tempat yang mulia dengan sebab hutangnya, sehinggalah hutang itu dijelaskan" - Riwayat At-Tirmidzi, Imam Ahmad

Antara masalah biasa berlaku berkaitan harta pusaka selepas kematian ialah :

01 - Hak waris tidak tertunai 
Waris tidak mendapat haknya, dan akhirnya harta tersebut dibekukan

02 - Tiada sepakat antara waris
Biasa berlaku salah faham, perebutan harta dan akhirnya menjejaskan silaturrahim 

03 - Hutang tidak dibayar 
Menyebabkan amalan si mati tergantung (Nauzubillahi min zalik)

04 - Hukum Faraid tidak dapat dilaksanakan 
Pembahagian harta pusaka kepada waris yang layak mengikut nasab tidak boleh dilakukan

05 - Pembekuan harta 
Yang kini berjumlah 1juta kes dengan keseluruhan berjumlah RM42 bilion!

06 - Tempoh pengagihan pusaka yang lama 
Boleh mencecah sehingga 5 hingga 20 tahun 

07 - Pentadbir yang tidak amanah dan tidak berkemahiran 
Pentadbir, atau pemegang amanah mestilah faham dan tahu maklumat harta dan hutang si mati

08 - Kesukaran menuntut harta sepencarian 
Mengambil masa yang lama dan tidak seperti yang diharapkan

09 - Berlaku kes 'makan hak orang lain' 

"Pelajarilah ilmu faraid kerana ia sebahagian daripada agama kamu dan ia adalah setengah daripada ilmu. Ia juga adalah ilmu yang pertama akan dicabut daripada umatku." - Hadis Riwayat Ibnu Majah, daripada Abu Hurairah r.a.


Monday, April 29, 2013

Jangan Terlepas Pandang


Wasiat, Faraid dan Harta Sepencarian
Apabila berlaku kematian, salah satu perkara yang paling sensitif untuk dibincangkan ialah harta peninggalan si mati.
Tetapi, ini amat penting bagi menyelesaikan hutang-hutang si mati dan memastikan kesinambungan kehidupan waris-waris yang ditinggalkan.
Apa yang patut sedari ialah harta itu satu amanah dari Allah. Wajib bagi kita untuk menjaga dan mengagihnya degan bijaksana.
Dari pembacaan dan kajian, kita boleh mengambil langkah-langkah untuk memastikan harta kita terus berkesan dari sekarang – ketika kita masih hidup, sihat dan waras.
Langkah 1: Tulis dokumen harta sepencarian
Bagi pasangan yang telah berkahwin, amat penting untuk mengisytiharkan harta sepencarian bagi mengiktiraf sumbangan bersama (terutamanya pasangan yang tidak bekerja untuk menjaga anak-anak) di dalam keluarga.
Ini akan memudahkan pasangan yang ditinggalkan untuk terus mendidik dan membesarkan anak-anak.
Dengan perancangan yang teliti, anda boleh kongsi harta-harta yang diperolehi selepas perkahwinan seperti tabungan EPF, Tabung Haji, saham-saham, wang simpanan di dalam bank-bank dan aset-aset seperti rumah dan kereta, walaupun pasangan anda tidak bekerja.
Anda boleh membuat dokumen pengistiharan harta sepencarian dengan syarikat pengurus kewangan Islam.
Langkah 2: Buat kiraan pembahagian Faraid untuk harta bahagian anda
Gunakan tool online ( http://maths.usm.my/faraid ) atau jika mampu khidmat profesional untuk membuat pengiraan asas ini bagi memahami situasi kewangan ibu bapa, pasangan, anak-anak dan bakal penjaga anak-anak anda sekiranya anda tiada.
Dengan pengetahuan ini anda mampu membuat pembahagian harta (Hibah, Faraid dan lain-lain) yang lebih berkesan untuk kebajikan anak-anak, pasangan, ibu bapa dan waris-waris yang lain.
Langkah 3: Buat dokumen wasiat untuk mengHIBAHkan 1/3 dari harta anda
Hibahkan 1/3 harta anda untuk tujuan waqaf, sedekah ataupun untuk tambah wang pembelanjaan anak-anak untuk penjaga yang anda lantik.
Ingatlah, si isteri hanya akan memperolehi 1/8 dari harta pusaka di bawah sistem Faraid.  Anda boleh menghibah sebahagian harta sekiranya anda fikir ianya perlu.
Ini penting sekiranya anda berdua tidak mempunyai banyak harta sepencarian dan bahagian 1/8 itu tidak cukup untuk membesarkan anak-anak.
Langkah 4: Buat deklarasi di dalam dokumen wasiat ini untuk membahagikan 2/3 daripada harta anda mengikut sistem Faraid
Anda bukan sahaja meningkatkan syiar Islam dengan cara ini, malah anda membantu waris-waris  untuk menyambung kehidupan tanpa anda dengan aman.
Langkah 5: Bincang dan umumkan keputusan anda ini dengan pasangan dan waris-waris anda.
Ini bukan mudah hendak dilakukan. Tetapi, sekiranya pasangan dan kaum keluarga hormatkan anda, maka mereka sepatutnya menerima pembahagian anda yang adil dengan terbuka. Mereka juga seharusnya membantu anda melaksanakan hasrat dan wasiat ini apabila anda tiada.