COMPARE, BOOK, SAVE. TOO EASY!

Save on your hotel - www.hotelscombined.com

Best Hosting Service

Affiliates Network

Wednesday, January 23, 2013

Wasiat 1/3 harta -vs- Wasiat Pentadbiran Pusaka

Sketsa 1 :


`Maaf, saya tak nak harta saya pindahmilik masa saya hidup. Saya nak semuanya berlaku lepas saya tak ada nanti. Tanah yang 10 ekar tepi jalan besar tu saya nak beri kepada isteri saya. Tanah yang sebelah masjid, saya cadang nak wakafkan. Tanah sawit 20 ekar di felda tu pun saya nak beri pada isteri saya. Kalau boleh, saya nak isteri saya jadi pentadbir harta saya' ujar Hj Deraman sambil meneguk kopi panas yang dihidangkan oleh isteri tersayang.

Hj Deraman ialah seorang yang dihormati di kampung tersebut. Jika ada kematian dan kenduri kendara, beliau lah yang menjadi tempat rujukan orang kampung. Pandangannya diterima oleh masyarakat kampung. Kehadirannya dinanti-nantikan kerana sifat peramahnya memikat warga tua dan muda. Hj Deraman dahulunya seorang usahawan yang berjaya. Kejayaannya tersebut menjadikan nama beliau meniti di bibir-bibir para ibu sebagai contoh kepada anak-anak di kampung tersebut.

Sejak kebelakangan ini, kesihatan Hj Deraman agak tidak memberansangkan. Batuk yang dialami selama lebih 3 bulan tidak nampak berkurangan. Isterinya yang mesra dipanggil Mak Jah bingkas bangun mengambil segelas air putih apabila melihat suaminya tersedak sedikit semasa menjamah kuih.

'Macam ni Tn Hj, ada banyak cara yang mana Tn Hj boleh buat. Antaranya Surat Wasiat Pentadbiran Pusaka dan ...' kata-kata Ida iaitu seorang pegawai perunding syariah di syarikat Hj Deraman dipotong oleh Hj Deraman.

`Bukan yang tu. Bukan wasiat. Saya bukan nak wasiat 1/3 harta saya. Saya cuma nak harta saya diberi kepada isteri saya selepas saya meninggal. Saya tak ada anak. Lepas tu, isteri saya akan membahagikannya kepada adik-beradik saya yang lain ikut jumlah yang isteri saya tentukan. Sebahagian harta lagi, terutamanya wang simpanan saya dan tanah-tanah sawit saya nak masukkan dalam syarikat keluarga' balas Hj Deraman.

`Tn Hj, di dalam Surat Wasiat Pentadbiran Pusaka Tn Hj boleh menamakan isteri Tn Hj sebagai pentadbir harta pusaka. Ia akan memudahkan urusan pusaka kelak. Tn Hj juga boleh buat Surat Hibah harta ataupun buat Surat Pengisytiharan Harta Sepencarian..'

`Tak payah la, surat-surat hibah, harta sepencarian tu.. dulu pun saya pernah handle kes-kes wasiat macam ni.. buat disclaimer je' tokok Saiful adik bongsu Hj Deraman.

`Ye la, bang. Buat disclaimer jer.. saya pun ingat nak buat macam tu untuk anak angkat saya nanti. Kalau buat hibah, silap-silap haribulan, kita pula kena halau keluar dari rumah..sape yang susah, kita juga' balas Munah sambil mengambil tempat duduk di sebelah abangnya, Hj Deraman.

`Kalau macam tu, Ida awak buat 'Surat Penolakan Waris' yang menyatakan waris-waris saya menolak untuk mengambil hak mereka sebagai waris dalam harta saya selepas saya mati kelak' arah Hj Deraman.

`Hmmm... Tn Hj, mungkin kita boleh bincang di ofis jika Tn Hj ingin tahu lebih lanjut tentang Surat...' Ida cuba memberikan cadangan.

`Tak pe, Ida. Saya tahu. Awak jangan risau. Adik-beradik saya dah setuju takkan tuntut harta saya lepas saya mati kelak. Awak sendiri dengar kan' balas Hj Deraman tersenyum. Beliau tahu pegawai syariahnya memang jujur dan berhasrat untuk menjaga kepentingannya, tetapi Hj Deraman meyakini dan mempercayai kata-kata adik-adiknya dan cukuplah surat penolakan harta tersebut.


Sketsa 2 :


Seminggu selepas kematian Hj Deraman, Mak Jah membawa `Surat Penolakan Waris' tersebut yang telah ditandatangani oleh waris-waris yang terdiri daripada 8 adik-beradik Hj Deraman ke Pejabat Pusaka.

`Surat apa ni mak cik? Bila tandatangan ni? Mak cik ada bawa Sijil Kematian suami' soal kerani di kaunter pendaftaran.

`Ada' balas Mak Jah sambil menyerahkan semua dokumen penting termasuklah ic beliau, ic waris, sijil kematian, sijil nikah dan senarai dokumen milikan harta.

`Banyak harta ni. Kalau harta kurang RM600,000 mak cik boleh teruskan di pejabat pusaka ni. Ikut prosedur biasa. Kena isi borang A. Kalau lebih RM600,000 mak cik kena pergi Mahkamah Tinggi Sivil. Lepas tu, mak cik kena pergi buat permohonan untuk dapatkan Sijil Faraid di Mahkamah Syariah' jelas kerani tersebut panjang lebar.

`Tapi puan, harta tu kan terus jatuh atas nama saya sebab waris semua menolak untuk terima harta. tak boleh ke terus daftar atas nama mak cik je' soal Mak Jah kebingungan.

`Tak boleh mak cik. Tak valid surat tu. Waris-waris tandatangan tolak hak masa arwah masih hidup. Sedangkan masa arwah masih hidup tak timbul soal hak pusaka ni. Kalau waris nak tolak hak, kena buat surat penolakan baru iaitu selepas kematian arwah. Jadi, mak cik kena kumpul semua waris minta tandatangan mereka semula. Kalau waris tak setuju, harta arwah kena bahagi ikut faraid macam biasa' panjang lebar kerani pejabat pusaka memberi penjelasan menambahkan kebingungan Mak Jah.



******************



Inilah antara contoh yang berlaku dalam masyarakat kita. Mereka kurang memahami dan tidak membezakan antara wasiat sedekah jariah, wasiat nasihat dan wasiat wasi. Yang terfikir di benak fikiran mereka, bila sebut bab wasiat... itulah dia wasiat menyerahkan 1/3 harta.

Ingin mengetahui dengan lebih lanjut?

Insya-Allah, saya akan berkongsi dengan para pembaca yang dihormati berkenaan tips-tips ringkas mengurus harta pusaka. Sama-samalah kita berkongsi ilmu demi kebaikan bersama.

`Pelajarilah al-Quran serta ajarkan ianya kepada orang lain dan pelajarilah ilmu faraid serta ajarkan ianya kepada orang lain. kerana sesungguhnya aku ini akan dicabut nyawa (mati) dan ilmu tersebut juga akan dicabut oleh Allah swt. lalu akan timbullah fitnah harta (huru-hara) sehingga nanti akan ada di kalangan dua orang yang berselisih tentang pembahagian harta pusaka dan mereka sendiri tidak tahu siapakah yang akan dapat menyelesaikan masalah mereka'
(Hadis Shahih riwayat Al-Hakim, Al-Baihaqi dan Abdullah Ibn Mas'ud)

Monday, January 7, 2013

Ambil berat pelan penurunan harta pusaka


PEMAHAMAN berkaitan masalah pusaka tidak akan sempurna tanpa kita mengetahui di manakah kes pusaka kita akan dibicarakan jika kita meninggal dunia. Di negara kita permohonan pembahagian pusaka umat Islam boleh dibuat di:
1. Mahkamah Tinggi Malaya Melalui Peguam/Amanah Raya Seksyen 77A Akta Probet & Pentadbir 1959 Order 71 Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 Harta Alih & Tak Alih lebih RM600,000.
2. Pejabat Pusaka Kecil Waris Si mati/Peguam Seksyen 13 Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 Seksyen 4 Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 Seksyen 3(2) Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 Harta Alih & Tak Alih kurang daripada RM600,000.
3. Amanah Raya Berhad Seksyen 13 Akta Pemegang Amanah Raya 1995 Seksyen 8 Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 Seksyen 17 (1) Akta Pemegang Amanah Raya 1995 Seksyen 17(2) Akta Pemegang Amanah Raya 1995 Harta Alih kurang daripada RM600,000.
Harta Alih kurang daripada RM50,000.
Tegasnya, umat Islam di negara kita dalam banyak keadaan terpaksa menyerahkan permohonan pusaka mereka kepada dua bidang kuasa perundangan iaitu di Mahkamah Syariah bagi memperolehi Sijil faraid dan kemudiannya mendapatkan perintah pembahagian daripada Mahkamah Tinggi atau Pejabat Pusaka Kecil.
Proses ini terkadang menjadi lebih rumit bila terdapat keadaan di mana berlakunya pertindihan atau kesamaran bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dalam hal-hal bagi menentukan sama ada harta si mati boleh dikategorikan sebagai harta pusaka atau tidak.
Oleh kerana hambatan perundangan tersebut adalah penting bagi umat Islam memastikan harta yang mereka miliki dapat diperturunkan kepada mereka yang memerlukan dalam waktu yang seberapa singkat.
Untuk tujuan itu langkah yang pertama sendirian bila terdapat ahli-ahli waris yang mahu menuntut harta dengan petah berhujah sambil merujuk kepada ayat-ayat pewarisan dalam surah an-Nisa'.
Begitulah juga yang lazimnya berlaku bila si suami menggunakan kuasa veto mereka untuk berpoligami sambil merujuk kepada ayat 2 surah an-Nisa' yang memberikan ruang kepada suami untuk berpoligami.
Kes-kes monopoli harta pusaka sehingga mewujudkan kematian yang berlapis-lapis seharusnya tidak berlaku kepada umat Islam memandangkan kita telah diajar akan azab yang bakal menimpa jika memakan harta anak yatim atau harta yang bukan milik kita.
Sebaliknya ada juga dikalangan kita yang mengambil sikap "tak kuasa" atau tidak peduli untuk bertegang urat atau berparang berebut tanah pusaka lebih-lebih lagi perlu pula berhadapan dengan bapa saudara atau saudara sepupu yang terkenal dengan panas barannya.
Walaupun menjadi amalan yang dituntut untuk kita tidak terbabit dengan perebutan harta pusaka tetapi keengganan ahli-ahli waris untuk berhadapan dengan masalah itu sekarang adalah petanda jelas bahawa pemilikan tanah pusaka tersebut akan terus tergantung dari satu generasi ke generasi.
Akhirnya tanah tersebut tidak mempunyai nilai komersial untuk dibangunkan akibat ketidaktentuan status pemiliknya.
Jauh di sudut hati terfikir juga kita daripada hartanah yang ditinggalkan menjadi punca perbalahan, alangkah baiknya jika tanah tersebut dahulunya diwakafkan sahaja oleh nenek tersebut.
Bagi mengelakkan masalah kematian berlapis ini, sangat perlu untuk umat Islam membahagikan harta pusaka dengan seberapa segera selepas kematian si mati.
Penyegeraan pembahagian pusaka akan dapat memastikan tanggungan si mati sama ada kepada Allah atau manusia dapat dijelaskan sebelum aset yang ditinggalkan dibahagi-bahagikan kepada mereka yang layak.
Percayalah, bertangguh dalam membahagikan pusaka memberi ruang kepada lebih banyak masalah pusaka di masa depan.
Umat Islam juga perlu menyedari bahawa betapa agama Islam adalah agama yang cukup sempurna, relevan pada setiap zaman dan mendukung prinsip keadilan secara total.
Sementara kita mengakui bahawa faraid adalah ketentuan hukum dari Allah yang tidak boleh disanggah, syarak menyediakan pula pelbagai kaedah bagi memastikan harta yang ditinggalkan mampu menambahkan pahala berpanjangan kepada yang mati dan boleh menambah baik keadaan ekonomi ahli keluarga yang ditinggalkan.
Antara kaedah yang digariskan oleh syarak adalah antaranya Hibah, Hadiah, Amanah, Nazar, Wakaf dan Sedekah.
Kes-kes pusaka akan dapat diatasi atau dikurangkan tahap permasalahan jika umat Islam menyediakan pelan yang jelas berkaitan harta yang dimiliki menurut kaedah yang dinyatakan di atas.
Pelan penurunan harta inilah yang semacam menjadi fobia di dalam masyarakat Islam kita hingga bila dicadangkan agar wasiat ditulis ramai pula yang dengan sinis menjawab, maaflah saya belum nak mati lagi atau tak mengapalah harta saya sedikit sahaja.
Sebagai perbandingan ramai pula di kalangan kita yang apabila meninggalkan rumah walau hanya seketika, meninggalkan pesanan kepada anak mereka umpamanya; 'Jangan bergaduh, jangan lupa pastikan pintu rumah dikunci dan jangan lupa angkat kain baju di ampaian'.
Hujah saya, jika meninggalkan rumah yang sebentar itu pun kita perlu berpesan, mengapa tidak kita menyediakan pesanan dan perancangan yang sempurna untuk ahli-ahli keluarga sebelum kita meninggalkan alam sementara ini ke alam yang kekal yang tidak diketahui bila pula ia akan tiba.
Kaedah perancangan pusaka yang digariskan syarak di atas memberikan ruang untuk kita memberikan harta yang dimiliki kepada mana-mana pihak sekalipun orang itu bukanlah ahli waris kita pada kadar yang difikirkan sesuai.
Prinsip asas yang perlu dipatuhi adalah apa pun sahaja pemberian yang hendak diturunkan itu hendaklah dibuat dan dilaksanakan semasa hayat si pemilik harta.

Saturday, December 29, 2012

Kes Undang-undang Wasiat : Analisis kes Kesahan Wasiat Tempoh Pembahagian Pusaka


Kes : SAEDAH BINTI ABU BAKAR MALEK BIN HAJI MOHAMED YUSUF LAWAN HAJI ABDUL RAHMAN BIN HAJI MOHAMAD YUSUF DAN USMAN BIN HAJI MOHAMED YUSUF (1981)FMSLR 352 / [1983] JURNAL HUKUM


PENDAHULUAN

Wasiat dari segi bahasa ialah berasal daripada perkataan ‘wassa’ yang bererti memerintahkan, menasihatkan, menjanjikan atau pemberian harta selepas mati. Ahli-ahli fiqh mazhab Syafie berpendapat bahasa ia berasal daripada kata sifat ‘wassa’ yang bererti menghubungkan atau menyampaikan. Ia bermaksud menghubungkan atau menyampaikan kebaikan yang dilakukan oleh seseorang semasa hidupnya dengan ganjaran pahala selepas dia meninggal dunia. [1]

Manakala wasiat dari segi istilah pula ialah pemberian atau sumbangan oleh seseorang kepada orang atau pihak lain setelah dia meninggal  dunia sama ada perkataan wasiat itu diucapkan atau tidak. Menurut mazhab Syafie, wasiat ialah pemberian suatu hak yang boleh dilaksanakan selepas berlakunya kematian pewasiat sama ada dengan menggunakan lafaz atau tidak. Manakala menurut Abdul Karim Zaydan, wasiat ialah memberi milik kepada seseorang secara sukarela yang dilaksanakan selepas kematian pewasiat sama ada benda atau manfaat. Ada juga fuqaha’ yang mentakrifkan wasiat sebagai suatu pemberian oleh seseorang kepada pihak yang lain sama ada benda, hutang atau manfaat untuk dimilik oleh penerima wasiat akan pemberian tersebut selepas kematian pewasiat.[2]

Menurut Enakmen Wasiat Orang Islam  (Negeri Selangor) No: 4, 1999, wasiat ertinya iqrar seseorang yang diperbuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut hukum syarak, selepas dia mati.[3] 

Di Malaysia terdapat satu kes unik yang dicatatkan berkaitan wasiat dimana pewasiat menambah syarat pelaksanaan dalam tempoh tertentu sehingga menghalang pembahagian harta mengikut faraid terhadap ahli waris. Justeru itu, melalui kertas tugasan ini akan cuba mengupas isu-isu dan keputusan kes tersebut dengan lebih lanjut.
  
FAKTA KES

            Kes ini berkaitan taraf wasiat yang mengikat pembahagian harta pusaka si mati untuk jangka masa 10 tahun. Si mati iaitu pewasiat telah mewasiatkan supaya pembahagian pusaka akan dibahagikan kepada waris-warisnya selepas 10 tahun dari tarikh kematiaannya. Kes ini melibatkan pihak penuntut yang merupakan balu dan anak kepada pewasiat (si mati)  iaitu Puan Saedah Binti Abu Bakar dan Malek Bin Haji Mohamed Yusof yang menyatakan bahawa wasiat itu tidak sah. Pewasiat mempunyai 10 orang anak yang menjadi waris kepada si mati mengikut undang-undang Islam iaitu lapan orang daripadanya yang mendapat faedah dari wasiat kerana telah mencapai umur dewasa dan berfikiran waras, manakala dua anak lagi adalah anak perempuan yang telah berumahtangga yang berumur lebih kurang 20 tahun dan seorang lagi adalah anak yang cacat akalnya.
  
ISU BERBANGKIT

1.      Adakah amanah wasiat itu boleh dihapuskan mengikut Undang-undang Inggeris kerana wujud ketidakupayaan waris dalam kes tersebut?

2.      Sama ada wasiat yang mengikat hak ahli waris untuk jangka masa 10 tahun adalah sah ataupun tidak mengikut undang-undang Islam?

PENGHAKIMAN

            Hakim Innes memutuskan bahawa arahan di dalam wasiat yang mengikat hak ahli waris untuk jangka masa 10 tahun adalah tidak sah menurut Undang-undang Islam kerana seorang pembuat wasiat tidak boleh menangguh atau mempercepatkan masa perpindahan harta pusaka kepada waris-waris selepas kematiannya. Hakim juga berkata sekiranya mengikut Undang-undang Inggeris terdapat langkah yang boleh diambil selepas ketidakupayaan waris itu dihindarkan atau diperuntukkan untuk menghapuskan amanah di dalam kes yang dibawa ini akan tetapi kita di sini menyelesaikan kes mengikut Undang-undang Islam.

ANALISIS

            Berdasarkan isu yang pertama, hakim telah memutuskan kes ini mengikut Undang-undang Islam kerana si mati dan warisnya adalah mereka yang beragama Islam walaupun amanah wasiat itu boleh dihapuskan mengikut Undang-undang Inggeris kerana wujud ketidakupayaan waris dalam kes tersebut.

            Hakim Innes juga telah memutuskan bahawa arahan di dalam wasiat yang mengikat hak ahli waris untuk jangka masa 10 tahun menurut Undang-undang Islam adalah tidak sah dan ahli-ahli waris itu berhak menerima pembahagian harta pusakan secara segera.

            Merujuk buku Muhammadan Law oleh Tyabji yang menyatakan bahawa tidak ada siapa (mengikut pendapat yang diterima secara am di dalam undang-undang) yang dibenarkan untuk menyekat perjalanan undang-undang dikuatkuasakan kepada mereka yang diiktiraf sebagai waris-waris.[4]

Islam mengajarkan umatnya agar bersegera dalam pembahagian harta pusaka. Hal ini telah diterangkan di dalam Surah al-Nisa’ yang bermaksud : “Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan dibelakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khawatir terhadap (kesejahteraan) mereka. oleh sebab itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar”[5]. Ayat tersebut menggambarkan bahawa Allah begitu memperhatikan orang-orang yang tidak mampu dan memerlukan. Bahkan, dalam masalah pembahagian harta pusaka jika kerabat yang miskin dan amat memerlukan kepada harta pusaka, hendaklah kita memberinya bahagian mereka dengan kadar yang segera.

Sebagaimana firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud : “Bagi orang lelaki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya, dan bagi orang wanita ada hak bahagian (pula) dari harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan”[6]. Ayat ini jelas sekali menunjukkan bahawa setiap waris itu mempunyai hak dan bahagian mereka daripada harta pusaka.

Ayat al-Quran lain yang turut menjelaskan hak-hak waris dalam pusaka secara umum ialah ayat terakhir yang dipetik dari Surah al-Anfaal yang bermaksud : “Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai hubungan kerabat itu sebahagiannya lebih berhak terhadap sesamanya (daripada yang bukan kerabat) di dalam Kitab Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala sesuatu[7].

            Manakala pihak defenden (wasi) yang diwakili peguam Mr.Wagner telah mempersoalkan tentang sahnya pandangan yang dikemukakan bahawa amanah yang dipersoalkan itu bercanggah dengan undang-undang Islam dan pihaknya juga hanya mengemukakan lima kes dari India dan tiada keterangan yang diberikan. Kes-kes yang dikemukakan itu juga tidak menyokong hujahnya antara kes yang dibawa ialah kes Banoo Begum lawan Mir Abed Ali[8] yang mana kes tersebut boleh memberi kesan sekiranya pewasiat adalah seorang yang bermazhab Syi’ah akan tetapi di dalam kes Saedah ini pewasiat dan mereka yang terlibat adalah seorang Melayu yang bermazhab Shafi’i.

        Secara keseluruhannya kes ini memberi kita keputusan bahawa segala wasiat yang menyebabkan ahli waris terikat daripada menerima bahagian harta pusaka untuk jangka masa tertentu yang telah ditetapkan oleh pembuat wasiat adalah tidak sah mengikut Undang-undang Islam.

KESIMPULAN

Arahan di dalam wasiat yang menyebabkan ahli waris terikat daripada menerima bahagian harta pusaka mengikut Undang-undang Islam untuk jangka masa tertentu yang telah ditetapkan oleh pembuat wasiat adalah tidak sah. Hal ini demikian kerana, seorang pembuat wasiat tidak boleh menangguh atau mempercepatkan masa pengagihan harta pusaka kepada waris-waris setelah kematiannya  dan ahli-ahli waris berhak menerima harta pusaka secara segera.

Menyegerakan urusan pembahagian pusaka sebenarnya adalah sebahagian daripada tuntutan agama yang mana kita dapat lihat wasiat orang Islam dan wasiat orang bukan Islam mempunyai perbezaan besar daripada segi hukum dan kesan menurut undang-undang. Wasiat orang bukan Islam akan mengikat ahli waris untuk membuat pembahagian harta peninggalan si mati, manakala wasiat orang Islam tidak mengikat sepenuhnya waris untuk membuat pembahagian sebagaimana di dalam wasiat itu.[9]



[1] Mohd Zamro Muda, “Instrumen Hibah Dan Wasiat : Analisis hukum Dan Aplikasi Di Malaysia”, Konvensyen Faraid dan Hibah Kebangsaan 2008,  h.13
[2] Ibid.
[3] Bahagian Baitulmal Jabatan Agama Islam Selangor, Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999, h.67.
[4] Tyabji (1940), Muhammadan Law : The Personal Law of Muslims, Bombay : N.M. Tripathi, h.530.
[5] Surah Al-Nisa’ : Ayat 9.
[6] Surah an-Nisa’ : 7
[7] Surah al-Anfaal : 75
[8] 32 Bom 192
[9] http://wasiwasiat.com/tag/segerakan-pusaka/, akses pada 25 Februari 2011.

Saturday, December 15, 2012

Tiada Dokumen Wasiat, harta dibekukan.....maka




Fakta-fakta di atas tadi jelas, tindakan seterusnya adalah, lakukan apa yang sepatutya di lakukan. Jadikan amalan penulisan Wasiat sebagai suatu budaya. Mulakan dari sekarang!
Jangan ambil mudah!
Sabda Rasullullah s.a.w.: " Seorang Muslim yang mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur selama dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiat di sisinya " - Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Friday, December 7, 2012

UMRAH FEB8,2013

Bagi Tuan/Puan yang berhajat untuk menunaikan Umrah daripada 8hb hingga 18hb Feb,2013 boleh dapatkan keterangan lanjut berkaitan pakej yang di tawarkan kepada aroslan@operamail.com. Tempat adalah terhad sila buat tempahan awal.( rujuk kepada risalah ).